Tuesday, January 8, 2008

Cabaran ICT 2008 bermula


Perkembangan pesat berterusanPENJEJAKAN kaki Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) Oktober lalu boleh dikatakan antara kejayaan besar negara bagi 2007, sekali gus membuktikan Malaysia mampu jalan seiring dengan negara maju dalam bidang sains dan teknologi.

Berlabuhnya tirai 2007 dengan kejayaan demi kejayaan dikecap tidak bermakna industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) boleh ‘relaks’ pada lembaran baru ini, sebaliknya kita perlu meneruskan penerokaan bagi memastikan negara kekal berada di landasan untuk berdiri megah di era digital ini.

Banyak pemain industri menjadikan 2007 sebagai tahun agresif dengan berlumba- lumba memperkenalkan pelbagai teknologi atau produk baru.
Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom), David Wong Nan Fay, memaklumkan peningkatan ICT banyak mendapat kesan daripada ekonomi dunia seperti kenaikan harga minyak.


“Pasaran ICT bagi 2007 menyaksikan kenaikan 13 peratus menepati sasaran kami,” katanya.
Pikom menjangkakan 2008 bakal menyaksikan angka itu meningkat dua kali ganda daripada sektor perkilangan, perbankan serta kewangan, kerajaan, pengangkutan dan pengguna dalam ICT.

“The Digital Planet 2006 melaporkan Malaysia bakal membelanjakan lebih RM49 bilion dalam ICT pada 2008 berbanding RM40 bilion tahun lalu,” kata Wong.
Jangkaan segmen perkakasan seperti komputer peribadi (PC), laptop dan pembantu peribadi digital (PDA) akan terus mengejar momentum dengan laptop lebih popular memandangkan kemudahan mobiliti serta sambungan tanpa wayarnya.

Menurut Wong, perkembangan Internet juga bakal bertambah dengan pelbagai sektor mula menggunakan kemudahan seperti e-Kewangan, e-Perbankan, e-Kerajaan dan sekolah pintar untuk menyaksikan dunia tanpa kertas akan digunakan secara lebih berleluasa.
“Malah, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sambungan Internet secara ‘dial up’ mencecah 11.5 juta pengguna,” kata Wong.
Manakala sektor perisian dan perkhidmatan seperti sumber luar terus meningkat secara konsisten dan positif terutama pada 2008.

Inisiatif baru seperti Wimax dijangka meningkatkan kemudahan Internet apabila ia mula menemui pengguna pada suku kedua tahun ini.
Pada Mac lalu, kerajaan mengumumkan pemberian spektrum capaian jalur lebar 2.3 GigaHertz tanpa wayar Wimax kepada kepada Bizsurf (M) Sdn Bhd, MIB Comm Sdn Bhd, REDtone- CNX Broadband Sdn Bhd dan Asiaspace Dotcom Sdn Bhd.

Capaian Internet menggunakan jalur lebar dijangka meningkat secara mendadak apabila semua syarikat terbabit mula menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan.
Jangkaan penggunaan Internet tanpa wayar dengan pelbagai kemudahan dengan mudah dikecapi terutama di sektor pendidikan, malah seluruh rakyat mampu terse nyum dengan peningkatan ICT dalam kehidupan mereka.

Harapan dengan peluasan Wimax dapat sekurangkurangnya menukar corak penggunaan tradisional dalam setiap pelakuan kepada teknologi mantap demi kebaikan semua.

No comments: